LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA



1)  KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

     Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.

    Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.

   Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.

2) KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
      Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.
      Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.

Prinsip ini juga bertujuan melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk negara demi keamanan dan kemajuan. Pegangan yang teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat seperti berikut:
      i.        Menghormati harta awam
    ii.        Menghormati simbol simbol kedaulatan negara
   iii.        Mematuhi undang - undang
   iv.        Produktif
    v.        Berusaha meningkatkan nama baik negara melalui aktiviti sosial, ekonomi dan politik yang diceburinya.
   vi.        Sanggup menyumbang masa dan tenaga untuk pembangunan masyarakat dan negara.
  vii.        Setia, sanggup dan berani mempertahankan negara dari sebarang ancaman oleh kuasa luar.
viii.        Bersifat altruistik
   ix.        Mengutamakan kebaikan masyarakat dan negara tanpa perasaan prejudis dan perkauman.



3)  KELUHURAN PERLEMBAGAAN


     Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

     Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.

Aspek-aspek utama dalam negara perlu dipatuhi sebagai mana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu :
a)    Konsep raja berperlembagaan.
b)    Kedudukan kaum bumiputera dan bukan bumiputera dalam pembanggunan sosio ekonomi terjamin.
c)    Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan disamping perkembangan bahasa-bahasa lain tidak dihalang.
d)    Agama islam sebagai agama rasmi disamping kebebasan beragama diamalkan.
e)    Hak asasi rakyat terjamin
f)     Hak kerakyatan dan sistem pemeritahan.


4) KEDAULATAN UNDANG-UNDANG


    Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).
     
    Oleh itu, keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundagan ynag paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.

     Namun, kebebasan asasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Negera apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertaian kebebasan dan hak asasi. Didalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

5) KESOPANAN DAN KESUSILAAN


   Prinsip ini mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

    Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agam yang dianutinya.

    Kerajaan amat prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dianjurkan kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifa-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun negara itu.

    Kesimpulan, Rukun Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat.