Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu perpaduan Negara adalah merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Tanpa perpaduan, Negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara rusuhan, pergaduhan kaun dan sebagainya.
Perpaduan negara adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya ia mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasanan politik yang stabil. Kecemerlangan dalam bidang pendidikan, keharmonian masyarakat Malaysia yang sejahtera, bersatu padu, bermaruah dan berwawasan akan terhasil dan seterusnya menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Rukun Negara harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat: warganegara Malaysia. Rukun Negara adalah satu nilai yang perlu dicapai. Rukun Negara adalah amalan yang perlu dilakukan. Rukun Negara adalah satu visi bagi merealisasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama di Malaya atau Malaysia semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak mempunyai semangat patriotik kepada Malaysia. Rukun Negara juga tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak mengetahui asal usul dan sejarah Malaysia, iaitu negaranya sendiri. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak dapat berfikir dengan rasional dan secara ilmiah.
Kita sebagai warganegara Malaysia harus menyokong dan melibatkan diri dalam setiap program, dasar dan rancangan kerajaan yang bertujuan untuk membina sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera. Negara yang aman haruslah dipelihara. Pemeliharaan keamanan adalah tugas dan tanggungjawab semua warganegara. Kita harus hidup secara aman dan harmoni. Kita jangan melakukan kegiatan yang boleh mencetus salah faham antara kaum. Kita perlu patuhi undang-undang sepanjang masa.
Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi sekarang adalah hasil daripada komitmen, kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO). Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati ini tidak mampu bertahan sekiranya rakyat tidak bersatu dan tidak memberi kerjasama kepada kerajaan.