PENGENALAN

 Asas kerukunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya “kesatuan hati”. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna “konflik” yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.
Rukunegara merupakan ideologi kebangsaan Malaysia yang diperkenalkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara bertujuan untuk membentuk keperibadian rakyat negara ini sebagai bangsa Malaysia yang bersatu padu. Terdapat lima prinsip ideologi yang menjadi tonggak perpaduan antara rakyat untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan, untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden. Perkara ini dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera selama-lamanya. Namun pada masa ini, prinsip rukun negara makin terpinggir dan dilupakan oleh masyarakat kita terutamanya dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, kepentingan penghayatan Rukun Negara dan pelbagai langkah yang efektif untuk memupuk kesedaran rakyat Malaysia dalam menghayati prinsip-prinsip rukun negara akan dibincangkan.
     Di negara kita, kerajaan telah menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu. Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mendorong pemimpin negara dari pelbagai kaum memikirkan satu formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.


Justeru, kepentingan penghayataan rukun negara ialah dapat melahirkan rakyat yang taat kepada agama dan patuh pada undang-undang dan peraturan negara yang ditetapkan. Salah satu prinsip rukun negara  iaitu kepercayaan kepada Tuhan dan kedaulatan undang-undang. Hal ini demikian kerana semua agama di dunia telah mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Rakyat yang mendekatkan diri dengan Tuhan akan menghindarkan diri daripada gejala yang tidak sihat seperti terlibat dalam ajaran sesat, rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Individu yang patuh pada agama dan undang-undang tidak akan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan untuk kebaikan dalam semua perkara seperti melanggar peraturan jalan raya dan merampas hak orang lain. Jelaslah bahawa penghayatan rukun negara dapat melahirkan rakyat yang taat kepada agama dan patuh undang-undang.

METODOLOGI KAJIAN

 Bagi mendapatkan maklumat dan fakta yang diperlukan bagi menyiapkan tugasan ini, kami telah menggunakan beberapa kaedah yang kami rasakan senang untuk kami lakukan yang juga akan memperoleh maklumat dengan banyak. Kaedah pertama yang kami gunakan adalah dengan menggunakan kaedah penyelidikan. Kami telah pergi ke perpustakaan di kawasan kediaman kami dan menggunakan beberapa jenis rujukan untuk mencari fakta dan maklumat yang berkenaan.Kami telah merujuk buku,ensiklopedia,surat khabar dan jurnal bagi memenuhi hasil kajian ini.

Selain itu, kami telah menggunakan kaedah melayari internet. Kami telah membuat rujukan tentang prinsip-prinsip rukun negara dengan membuka beberapa laman web di internet.Banyak maklumat yang kami perolehi dari kaedah ini. Semua alamat laman web itu telah kami lampirkan di halaman rujukan.

Akhir sekali,kami telah menggunakan kaedah soal selidik.Kami telah mengedarkan borang kaji soal selidik kepada responden-responden kami seramai 15 orang dari kelas D1B1B.Kaedah-kaedah ini banyak membantu kami dalam menyiapkan tugasan yang diberi.





PERMASALAHAN KAJIAN


  1. Bagaimana untuk melahirkan semangat patriotisme terhadap pelajar Politeknik Nilai?
  2. Mengapa kita perlu menerapkan semangat Rukun Negara terhadap pelajar Politeknik Nilai?
  3. Apakah cara-cara untuk mencapai perpaduan yang erat dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum di Politeknik Nilai?
  4.  Siapakah yang harus bekerja sama untuk membentuk masyarakat yang berdemokratik?
  5.  Pada usia berapakah yang perlu menerapkan nilai Rukun Negara dalam diri masing masing?

PERISYTIHARAN RUKUN NEGARA

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakat :
·         Memelihara satu cara hidup demokratik ;
·   Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
·   Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;
·        Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

Maka kami rakyat Malaysia ,berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut :-
·         Kepercayaan kepada Tuhan
·         Kesetiaan kepada Raja dan Negara
·         Keluhuran Perlembagaan
·         Kedaulatan Undang-undang
·         Kesopanan dan Kesusilaan


LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA



1)  KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

     Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.

    Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.

   Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.

2) KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
      Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.
      Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.

Prinsip ini juga bertujuan melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk negara demi keamanan dan kemajuan. Pegangan yang teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat seperti berikut:
      i.        Menghormati harta awam
    ii.        Menghormati simbol simbol kedaulatan negara
   iii.        Mematuhi undang - undang
   iv.        Produktif
    v.        Berusaha meningkatkan nama baik negara melalui aktiviti sosial, ekonomi dan politik yang diceburinya.
   vi.        Sanggup menyumbang masa dan tenaga untuk pembangunan masyarakat dan negara.
  vii.        Setia, sanggup dan berani mempertahankan negara dari sebarang ancaman oleh kuasa luar.
viii.        Bersifat altruistik
   ix.        Mengutamakan kebaikan masyarakat dan negara tanpa perasaan prejudis dan perkauman.



3)  KELUHURAN PERLEMBAGAAN


     Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

     Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.

Aspek-aspek utama dalam negara perlu dipatuhi sebagai mana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu :
a)    Konsep raja berperlembagaan.
b)    Kedudukan kaum bumiputera dan bukan bumiputera dalam pembanggunan sosio ekonomi terjamin.
c)    Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan disamping perkembangan bahasa-bahasa lain tidak dihalang.
d)    Agama islam sebagai agama rasmi disamping kebebasan beragama diamalkan.
e)    Hak asasi rakyat terjamin
f)     Hak kerakyatan dan sistem pemeritahan.


4) KEDAULATAN UNDANG-UNDANG


    Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).
     
    Oleh itu, keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundagan ynag paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.

     Namun, kebebasan asasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Negera apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertaian kebebasan dan hak asasi. Didalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

5) KESOPANAN DAN KESUSILAAN


   Prinsip ini mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

    Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agam yang dianutinya.

    Kerajaan amat prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dianjurkan kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifa-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun negara itu.

    Kesimpulan, Rukun Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat.



OBJEKTIF RUKUN NEGARA

1. Mencapai Perpaduan yang Lebih Erat.
Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli–ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kepercayaan masing-masing. Rakyat  negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai persoalan yang wujud. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatupadu di mana semua rakyat tampa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

2. Memelihara Satu Cara Hidup Demokratik.
Pelembagaan negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat negara ini asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalah gunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkademokrasi. Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah di utamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu tidak, jika hendak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam.

3. Mencipta Sebuah Masyarakat Yang Adil.
Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang  kita cita-cita kan itu bebas daripada penindasan seseorang terhadap yang lain ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

4. Membentuk Satu Sikap Yang Liberal
Masyarakat negara ini bebas mengamalkan agama dan adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara. kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang Negara diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat di mana keadaan berlainan kebudayaan itu boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara Malaysia.

5. Membina Sebuah Masyarakat Progresif.
Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Masyarakat progresif yang hendak diwujudkan merupakan satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. 

Sejarah Pembentukan Rukunegara

Kedatangan Inggeris dan dasar imigrasi liberal yang diperkenalkan telah menukar bentuk masyarakat negara ini. Kerajaan Inggeris telah menggalakkan kemasukan tenaga buruh dari China dan India untuk bekerja di lombong dan estet serta berniaga di bandar .

Di bawah dasar pecah dan perintah Kerajaan Kolonial Inggeris, ketiga-tiga kumpulan etnik ini telah dipisahkan dari segi tempat tinggal dan pekerjaan. Kebanyakan orang Melayu tinggal di desa dan bekerja disektor pertanian, sementara orang Cina tinggal di bandar dan melibatkan diri dalam perniagaan . Orang India pula tinggal dan bekerja di estet-estet, hanya sebilangan kecil sahaja yang tinggal di bandar. Ketiga-tiga kumpulan etnik ini pula dipisahkan dari segi aliran pendidikan dengan mempunyai sekolah aliran masing-masing tanpa sukatan pelajaran atau kurikulum yang sama. Keadaan ini berterusan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan, kekacauan telah berlaku di Pulau Pinang semasa perayaan pemberian taraf Bandaraya kepada Pulau Pinang. Perbalahan yang sama turut berlaku di Pulau Pangkor (1960) , di Bukit Mertajam (1966) dan Pulau Pinang sekali lagi (1967) . Peristiwa kekacauan ini hanya berlaku secara kecil –kecilan sahaja. Langkah dan usaha yang serius iaitu peristiwa ini, Kerajaan telah mengambil langkah tegas untuk mencari satu formula bagi mengatasi masalah tersebut supaya tidak berulang lagi.

Berikutan itu Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan oleh Pengarah MAGERAN di bawah Undang-Undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970.

Anggota –anggota Majlis Perundangan Negara terdiri daripada seorang Pengerusi (Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein merangkap Pengarah MAGERAN), tiga orang menteri (Allahyarham Tun Dr Ismail Bin Dato’ Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Cin dan mendiang Tun V.T. Sambanthan), wakil-wakil Kerajaan Negeri dan wakil-wakil daripada tokoh-tokoh agama, badan-badan profesional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil-wakil kumpulan kecil.

Mesyuarat pertamanya telah diadakan pada 27 Januari 1970 yang dipengerusikan oleh Pengarah MAGERAN, Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussein .Setelah berbincang serta mengkaji sedalam-dalamnya selama beberapa bulan, Majlis Perundingan Negara telah merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan di negara ini. Berasaskan keputusan tersebut , maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh yang di-Pertuan Agong Keempat pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.

Setiap warganegara Malaysia hendaklah menjadikan Rukun Negara sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Rukun Negara diwujudkan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti nilai keagamaan ,kesetiaan kepada Raja dan Negara, kepatuhan kepada Perlembagaan , Kedaulatan Undang-Undang serta membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai Kesopanan dna Kesusilaan.

Rukun Negara juga menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ke arah pembentukan perpaduan nasional dan menjamin kesejahteraan masyarakat , seterusnya melahirkan sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu , demokratik ,adil, liberal dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan.     Prinsip-prinsip Rukun Negara adalah kunci kepada masyarakat majmuk negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

KESAN RUKUN NEGARA KEPADA BANGSA DAN NEGARA

                   Kedatangan kaum Cina, India dan kaum kaum lain ke Tanah Melayu pada suatu masa dahulu telah membentuk masyarakat Malaysia pada hari ini, iaitu wujudnya pelbagaian kaum, agama dan budaya.

    ii.                         Kedatangan pelbagai kaum ke Tanah Melayu dan dasar British telah mengubah landskap Negara ini yang mana Tanah Melayu menjadi Pusat Perlombongan biji timah dan pusat perladangan getah. Impaknya terhadap pembangunan ekonomi dan sosial Negara terus kelihatan sehingga hari ini.

   iii.                 Kedatangan kaum kaum lain juga telah menggalakkan penempatan Bandar masyarakat Cina melalui aktiviti perniagaan. Oleh itu, kebanyakkan Bandar Bandar di Malaysia sehingga hari ini kekal dihuni oleh orang Cina.

   iv.                  Ekoran dasar British kebanyakkan kaum Cina dan India bertumpu atau lebih ramai di negeri – negeri pantai barat seperti Selangor, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Seremban. Manakala, di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu dihuni oleh Orang Melayu.

    v.                         Kewujudan pelbagai kaum telah memberi kesan kepada pertumbuhan parti politik seperti:-
a.     DAP
b.    UMNO
c.    PAS


d.    dan lain - lain

RENUNGAN UNTUK GENERASI BAHARU


  •       Generasi masa kini perlu bersama – sama mengekalkan keamanan Negara dengan menunjukkan sikap perpaduan yang jitu.
  •                Generasi muda perlu memahami dan mempelajari budaya kaum yang lain untuk mengelakkan prejudis sesame mereka.
  •        Generasi muda terutamanya Cina dan India perlu menghargai jasa dan sumbangan nenek moyang mereka yang telah bersusah payah dating ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan yang baharu.
  •            Generasi muda terutama Cina dan India juga perlu menghargai jasa orang Melayu terdahulu yang member peluang kepada nenek moyang mereka menjadi warganegara Tanah Melayu.


KEPENTINGAN RUKUN NEGARA UNTUK MENGHASILKAN INDIVIDU DAN MASYARAKAT YANG DIHASRATKAN OLEH OBJEKTIF DAN MATLAMAT IDEOLOGI ITU DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu perpaduan Negara adalah merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Tanpa perpaduan, Negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara rusuhan, pergaduhan kaun dan sebagainya.

Perpaduan negara adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya ia mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasanan politik yang stabil. Kecemerlangan dalam bidang pendidikan, keharmonian masyarakat Malaysia yang sejahtera, bersatu padu, bermaruah dan berwawasan akan terhasil dan seterusnya menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Rukun Negara harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat: warganegara Malaysia. Rukun Negara adalah satu nilai yang perlu dicapai. Rukun Negara adalah amalan yang perlu dilakukan. Rukun Negara adalah satu visi bagi merealisasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama di Malaya atau Malaysia semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak mempunyai semangat patriotik kepada Malaysia. Rukun Negara juga tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak mengetahui asal usul dan sejarah Malaysia, iaitu negaranya sendiri. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak dapat berfikir dengan rasional dan secara ilmiah.

Kita sebagai warganegara Malaysia harus menyokong dan melibatkan diri dalam setiap program, dasar dan rancangan kerajaan yang bertujuan untuk membina sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera. Negara yang aman haruslah dipelihara. Pemeliharaan keamanan adalah tugas dan tanggungjawab semua warganegara. Kita harus hidup secara aman dan harmoni. Kita jangan melakukan kegiatan yang boleh mencetus salah faham antara kaum. Kita perlu patuhi undang-undang sepanjang masa.



Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi sekarang adalah hasil daripada komitmen, kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO). Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati ini tidak mampu bertahan sekiranya rakyat tidak bersatu dan tidak memberi kerjasama kepada kerajaan.

KESIMPULAN

 Perpaduan kaum adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara termasuklah Malaysia. Ia penting kerana tanpa perpaduan,sesebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam sama ada oleh kuasa luar mahupun dalam negara itu sendiri.
Rukun Negara diwujudkan ekoran daripada peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi ini telah membuka mata dan menyedarkan kita semua, betapa pentingnya bersatu padu dan hidup dengan aman dan damai serta menghindari sifat curiga mencurigai satu sama lain.
Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, muhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling menghormati antara satu sama lain. Melalui perpaduan yang mampan akan dapat membantu negara mempertingkatkan dan mempergiatkan pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang demokratik.


Kesimpulan, Rukun Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Objektif dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu masih releven untuk membentuk jati diri dan keperibadian rakyat. Apa yang perlu ialah penghayatan terhadap Rukun Negara mesti disemarakkan kembali melalui gagasan 1Malaysia sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan.

Rujukan


  1. Al-Azim, Rukunegara, <http://www.al-azim.com/jmm/popup.htm> 20 September 2014
  2. Rukunegara yang dicetak pada halaman belakang buku latihan sekolah bertujuan memupuk pemahaman dan penghayatan rukunegara dalam kalangan pelajar sekolah.
  3. Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin, Pengajian Malaysia, Shah Alam, Oxford Fajar, 2014, hlm 339.
  4. Altruistik – Sikap yang lebih mengutamakan kebahagiaan dan kebajikan orang lain daripada diri sendiri.
  5. Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin, Pengajian Malaysia, Shah Alam, Oxford Fajar, 2014, hlm 340.
  6. Unknown author Wikipedia, Rukunegara, <http://ms.wikipedia.org/wiki/Rukun_Negara >20 September 2014
  7. Unknown author, Pembentukan Rukunegara <http://yds2u.com/?page_id=1279> 20 September 2014
  8. Shimah Hassan, Kepentingan Rukunegara untuk menghasilkan individu dan masyrakat yang dihasratkan oleh objektif dan matlamat ideology itu dalam konteks hubungan etnik di Malaysia, <http://www.scribd.com/doc/17649509/rukun_negara>  20 September 2014.